KUALA LUMPUR: Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dilancarkan hari ini sedang ditambah baik bagi membolehkan kecerdasan buatan (AI) dapat digunakan bagi mengenal pasti transaksi mencurigakan melalui analisis ramalan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata antara ciri utama NFP adalah reka bentuk modular yang membolehkan penambahbaikan berterusan dilaksanakan pada masa hadapan terhadap infrastruktur asas yang sedia ada.

Menurutnya, walaupun data menunjukkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa penipuan kewangan secara keseluruhannya agak kecil berbanding jumlah transaksi kewangan domestik, Malaysia perlu lebih peka mengenal pasti dan mengatasi ancaman ini.

Abdul Rasheed berkata langkah ini bagi memastikan keyakinan terhadap sistem kewangan negara sentiasa terpelihara memandangkan penjenayah siber akan terus mengeksploitasi teknologi untuk mengembangkan taktik mereka.

"Perjalanan kita untuk memerangi penipuan masih panjang dan berliku. Dalam kita mengorak langkah ke hadapan, saya ingin menegaskan mengenai tiga tema utama ke arah usaha kita untuk memerangi penipuan kewangan," katanya dalam ucaptama semasa pelancaran NFP di sini hari ini.

-- BERNAMA