NEW DELHI: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India mulai 19 hingga 21 Ogos lalu membawa hasil yang signifikan bagi Malaysia.

Antara pencapaian utama termasuk meraih potensi perdagangan bernilai RM8 bilion dan komitmen pelaburan RM4.5 bilion dari syarikat-syarikat di India.

Berikut adalah info penting mengenai lawatan Anwar ke India:

Kerjasama perdagangan/pelaburan: Malaysia meraih potensi perdagangan bernilai RM8 bilion dan komitmen pelaburan RM4.5 bilion dari syarikat-syarikat di India.

Kerjasama pendidikan: India bakal menubuhkan kursi Tiruvalluvar di Universiti Malaya (UM), kursi Ayurveda di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

India turut menawarkan biasiswa kepada 100 pelajar Malaysia bagi mengikuti kursus keselamatan siber dan kecerdasan buatan di bawah inisiatif Indian Technical and Economic Cooperation Programme.

Keakraban pemimpin: Anwar dan rakan sejawatannya Narendra Modi menunjukkan hubungan rapat, apabila beliau menyifatkan Modi sebagai 'mere dosthi' (rakan sejati).

Anwar merupakan Perdana Menteri pertama ke India bagi lawatan rasmi dua hala selepas tujuh tahun.

Pemulihan hubungan: Hubungan Malaysia-India dilihat kembali 'pulih' setelah mengalami sedikit 'ketegangan'  pada era bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran keengganan Malaysia mengekstradisi pendakwah kelahiran India, Dr Zakir Naik yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.

Kerjasama ekonomi: Tujuh memorandum persefahaman (MoU) dimeterai melibatkan syarikat dari Malaysia dan India, merangkumi industri logistik, ekuiti swasta, pelaburan dan syarikat pemula.

Kerjasama kerajaan: Pertukaran lapan MoU merangkumi pelbagai sektor termasuk pengambilan pekerja asing, perubatan tradisional ayurveda, teknologi digital, budaya, pelancongan dan pentadbiran awam.

Perdagangan mata wang: Anwar dan Modi membincangkan perdagangan dua hala menggunakan rupee dan ringgit.

BRICS: India menyatakan sokongan kepada penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS.