TAPAH: Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memastikan pendidikan dan pembelajaran sentiasa dikemas kini mengikut keperluan semasa susulan kemasukan ke universiti awam pada tahun lepas melibatkan 193,029 pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelbagai tindakan juga perlu dilakukan bagi memastikan graduan IPT sentiasa bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.

Beliau berkata generasi muda kini berhadapan dengan evolusi teknologi yang begitu pantas selain pelbagai cabaran seiring arus teknologi, bukan sahaja dalam bidang kemahiran masing-masing malah bagi mengharungi arus kehidupan seharian.

"Nilai kemanusiaan, kerohanian, moral dan etika pada para pelajar juga perlu diterapkan supaya mereka mampu menghadapi pelbagai cabaran pada masa kini.

"Patik (saya) diamanahkan untuk melaksanakan tugas besar perekayasaan dan transformasi pendidikan tinggi negara bagi mendepani kemunculan dunia kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap pendidikan global secara keseluruhannya," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Zambry berkata membina kecemerlangan bukan lagi pilihan tetapi satu kemestian dan Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata beberapa sasaran impak utama dianjurkan bagi sektor pendidikan tinggi negara termasuk penambahbaikan kedudukan Malaysia sebagai hab ilmu dan bakat bertaraf antarabangsa.

"Bagaimanapun, dalam mengejar kedudukan di peringkat antarabangsa, keseimbangan di dalam pendidikan tinggi juga perlu dititikberatkan.

"Membina watak dan otak, menggapai ke langit dan mengakar ke bumi adalah antara mantera pendidikan tinggi masa kini di tengah-tengah zaman pascanormal yang penuh dengan tentangan cabaran yang kompleks, kontradiksi dan kerancuan yang kesemunya berlaku secara serentak," katanya.

-- BERNAMA