KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama enam bulan berkuat kuasa hari ini susulan dakwaan mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).


Ringkasan AI
  • Penggantungan Ahli Parlimen Machang: Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selama enam bulan kerana dakwaan berkaitan surat layang yang mengandungi maklumat mengenai dalang di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
  • Proses Pengundian: Usul yang dikemukakan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said diluluskan melalui undi belah bahagian dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, 46 tidak hadir, dan tiga tidak mengundi.
  • Kontroversi dan Kekecohan: Terdapat kekecohan di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee, menyifatkan usul tersebut sebagai defective dan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, untuk menarik balik usul tersebut. Ini mencetuskan reaksi dari beberapa Ahli Parlimen kerajaan.


Usul itu yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said diluluskan melalui undi belah bahagian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan tersebut memaklumkan seramai 110 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, tidak hadir (46) manakala tidak undi (tiga) dengan usul berkenaan selepas ia dibahaskan oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Sebaik sahaja Johari mengumumkan keputusan tersebut, semua Ahli Parlimen blok pembangkang bangun membaca doa qunut nazillah yang diketuai oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail. 

Terdahulu, Azalina ketika mengemukakan usul berkenaan berkata pada 1 Julai lalu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan 'dalang' di sebalik keputusan berkenaan.

Wan Ahmad Fayhsal secara terbuka menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan KWSP.

Sehubungan itu, Azalina berkata Ahli Parlimen tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan selain dalam menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee ketika bangkit di Dewan Rakyat berkata usul yang dikemukakan Azalina disifatkan sebagai 'defective' (rosak).

Beliau antaranya membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(9) dan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan berhubung definisi orang dalam perkhidmatan-perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, Ronald yang juga Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan pegawai KWSP yang disebut oleh Wan Ahmad Fayhsal bukan 'dikategorikan sebagai penjawat awam'.

"Intipati yang Speaker perlu lihat adakah KWSP ini termaktub sebagai pegawai kerajaan? KWSP ditubuhkan melalui Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452).

"KWSP tidak termaktub dalam definisi pegawai kerajaan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 132.

"Sebab itu usul ini Tan Sri (Johari) perlu tarik balik kerana ia 'defective'. Tan Sri kita ini (dalam) perundangan. Kalau ada usul daripada (pihak) eksekutif, Tan Sri mesti nilai dan teliti. Kalau 'defective', ia perlu ditolak balik.

"Tan Sri mesti bersikap adil... Apabila duduk di sana (kerusi Speaker), Tan Sri kena buka baju politik. Semua tindakan dan usul mesti dilihat melalui peraturan mesyuarat," katanya.

Bagaimanapun, tindakan Ronald meminta Johari 'membuka baju politik' menimbulkan kekecohan apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan menggesa beliau menarik kenyataan tersebut.

Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) antaranya berkata Ronald telah membuat sangkaan jahat dan menghina Johari.