SHAH ALAM: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkemungkinan bakal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.


Ringkasan AI
  • Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal, mungkin digantung dari Dewan Rakyat selama enam bulan kerana surat layang mengenai pengambilalihan MAHB.
  • Usul penggantungan ini akan dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas sesi soal jawab.
  • Wan Ahmad Fayshal dijangka mengadakan sidang akhbar di Parlimen mengenai isu tersebut, selepas sebelumnya menuntut penjelasan penjualan saham MAHB.


Ia susulan dakwaan mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Usul mencadangkan penggantungan itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan Usul-Usul bagi persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Ia akan dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas sesi soal jawab.

Usul berkenaan menyatakan, Wan Ahmad Fayhsal telah membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya.

Perkara itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada individu didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas tersebut.

Ahli Parlimen juga tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan selain menjalankan urusannya.

Dakwaan tersebut seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai agensi di bawah kementerian yang membantu membangunkan Malaysia.

Selain itu, dengan mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius akan membawa ke arah tindakan membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan.

Sementara itu, media dimaklumkan Wan Ahmad Fayhsal dijangka membuat sidang akhbar berkaitan isu tersebut di Parlimen.

Sebelum ini, beliau menuntut penjelasan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB sewaktu sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Susulan itu, beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan 'dalang' di sebalik keputusan berkenaan.

Beliau secara terbuka mendakwa individu terbabit daripada pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

- Sinar Harian