KUALA LUMPUR: Keahlian enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tergugur secara automatik.


Ringkasan AI
  • Keahlian enam Ahli Parlimen dari Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tergugur secara automatik setelah melanggar arahan parti untuk menandatangani surat setia kepada parti.
  • Akta Anti Lompat Parti telah terlaksana kepada enam Ahli Parlimen tersebut kerana mereka masih menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertentangan dengan dasar Perikatan Nasional dan Bersatu.
  • Keahlian mereka gugur secara automatik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Bersatu, kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.


Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keahlian mereka tergugur kerana melanggar arahan parti untuk menandatangani surat terus setia kepada parti.

Bahkan, menurut Ahli Parlimen Machang itu, kengganan mereka menandatangani surat itu juga menyebabkan mereka terlucut kerusi Parlimen.

“Kalau mereka masih lagi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini bertentangan dengan dasar Perikatan Nasional dan Bersatu.

“Maka mereka dikira bukan lagi ahli dan Akta Anti Lompat parti itu sudah terlaksana kepada mereka.

“(Keahlian terus gugur?) Tak perlu kami nak ugut, tak perlu nak paksa. Benda itu dah automatik berlaku.

“Macam saya, kalau saya tidak tandatangan hari tu, saya pun kena tandatangan juga...saya pun hilang kerusi saya, kena buat Pilihan Raya Kecil (PRK) pula di Machang,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambah beliau, tindakan sebegitu termaktub dalam Perlembagaan Bersatu, sekiranya ingkar arahan parti, maka keahlian mereka gugur secara automatik.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti tersebut.

Menerusi satu kenyataan, Muhyiddin berkata, arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu dibuat selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.

Menurutnya, arahan itu juga menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai anti lompat parti.