KUALA SELANGOR: Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilucutkan keahlian mereka dijadualkan mengadakan sidang akhbar khas pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Sidang Akhbar Ahli Parlimen Dilucutkan Keahlian: Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kehilangan keahlian mereka akan mengadakan sidang akhbar khas pada Ahad. Mereka akan memberikan penjelasan mengenai pendirian mereka dalam pertemuan bersama media di Bangsar Shopping Centre.
  • Kehadiran dan Jawapan Terkini: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, menyatakan bahawa semua enam Ahli Parlimen terbabit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, dijadualkan hadir. Mereka akan menjawab situasi terkini yang berlaku.
  • Bersatu dan Kekosongan Kerusi Parlimen: Bersatu telah menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen. Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, telah mengemukakan notis kepada Johari untuk meminta agar kerusi-kerusi tersebut dikosongkan


Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi berkata, semua penjelasan mengenai pendirian mereka hanya akan dijawab dalam pertemuan bersama media di satu lokasi di Bangsar Shopping Centre.

"Kita akan memberikan jawapan yang lengkap dalam sidang akhbar kira-kira jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui pada Jelajah Hari Terbuka UNISEL 2024 di Padang Astaka, Tanjong Karang di sini, pada Sabtu.

Beliau memberitahu, semua enam Ahli Parlimen terbabit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir.

"Kita hendak jawab segala situasi terkini yang berlaku dan hari ini (Sabtu) saya tidak boleh jawab apa-apa, tunggu esok (Ahad)," ujar beliau.

Sebelum ini, Bersatu menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, tidak berdolak dalih untuk segera mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen.

Bersatu diwakili Naib Presidennya yang juga Ketua Whip di Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pada Khamis lalu mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Selain Zulkafperi, Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

*Artikel disiarkan di Sinar Harian