KUALA LUMPUR: Pendirian UMNO berhubung tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selaras dengan keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebarang perubahan tentang keputusan itu hanya akan dimaklumkan oleh presiden parti.

Jelas beliau, keputusan yang dibuat oleh MKT itu hanya boleh diubah menerusi Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan hujung bulan ini.

“Setakat hari ni keputusannya seperti yang diputuskan oleh MKT iaitu bekerjasama sehingga PRU… setakat hari ini. Kalau ada sebarang perubahan akan diumumkan oleh Presiden, tapi setakat hari ini itulah keputusannya,” katanya selepas program menyantuni veteran anggota tentera di Alor Setar, pada Jumaat.

Ismail Sabri menegaskan, Perhimpunan Agung UMNO merupakan autoriti tertinggi di dalam parti yang boleh mengubah keputusan MKT.

Namun jelas beliau setakat ini keputusan yang dibuat MKT baru-baru ini bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 kekal.

“Kita tak boleh buat keputusan berbeza dari keputusan MKT.

“Satu lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan kita laksanakan dan diadakan pada 27 dan 28 Mac. 27 Mac persidangan sayap dan 28 Perhimpunan Agung. Di dalam PAU pun sebarang keputusan boleh dibuat. Ini kerana PAU merupakan autoriti tertinggi di dalam parti. Dia boleh reverse keputusan MKT sekali pun jadi Kita tunggulah… setakat hari ini kekal seperti yang diputuskan,” katanya lagi.

Baru-baru ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa MKT UMNO telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden parti mengutuskan surat kepada Presiden Bersatu bagi menyatakan keputusan bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

MKT UMNO juga berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.