SEREMBAN: DAP mengalu-alukan kesediaan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


Ringkasan AI
  • DAP menyambut baik kesediaan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
  • Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memuji komitmen Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negara.
  • Ahmad Zahid menegaskan BN akan terus bekerjasama dengan PH, walaupun kedua-duanya akan bertanding menggunakan lambang sendiri pada PRU16.


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata ini menunjukkan komitmen tinggi Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan kestabilan politik dan menjamin kemakmuran negara.

"Perbincangan selalu ada tetapi belum ada perbincangan rasmi, kita mengalu-alukan kenyataan disampaikan, ini menunjukkan komitmen Datuk Seri Ahmad Zahid bersama pimpinan BN untuk memperkukuh Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di sini hari ini.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata pendirian Ahmad Zahid menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi dalam kerajaan hari ini dan berharap kerjasama itu berterusan dengan baik tanpa timbul syak wasangka.

"Kerjasama PH-BN dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) menunjukkan satu persefahaman yang baik, itu cukup membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini memang teguh," katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16, namun BN dan PH akan bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

-- BERNAMA