GEORGE TOWN: Seramai 32 individu akan bertanding untuk merebut 15 jawatan ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027 pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang, 22 Sept ini.

DAP Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan antara 32 calon yang bertanding ialah Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye; serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari akan bersaing untuk menjadi satu daripada 15 ahli jawatankuasa negeri DAP yang baharu.

"Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang yang bertemakan 'Kekal Harapan, Kukuh Perpaduan', akan dirasmikan oleh Setiausaha Agung parti Anthony Loke Siew Fook.

"Speaker untuk konvensyen kali ini ialah Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) merangkap Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan manakala Timbalan Speaker ialah Ahli Jawatankuasa CEC merangkap Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, urusan pemilihan Jawatankuasa Negeri yang baharu akan dikendalikan oleh Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan serta Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi.

Konvensyen tersebut akan diadakan di Setia SPICE Arena, Bayan Lepas bermula 8 pagi dengan pendaftaran perwakilan dan pemerhati sebelum agenda konvesyen bermula pada 10 pagi.

Pemilihan jawatankuasa DAP Pulau Pinang tahun ini menarik perhatian kerana Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dalam pemilihan parti.

Chow, yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang kelima, mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi negeri itu pada 2018, sebelum mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada 13 Ogos tahun lepas.

-- BERNAMA