Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata bagi jawatan Timbalan Ketua DAPSY disandang oleh ADUN Balakong Ong Chun Wei manakala empat kerusi Naib Ketua DAPSY Kebangsaan diisi oleh G Annun Nancy, Tang Szu Ching, S Linesh dan Raja Ahmad Iskandar Fareez.
"Kesemua calon menang tanpa bertanding. Sebanyak 86 Bahagian DAPSY sebulat suara memilih satu pasukan berbilang kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India...inilah semangat Malaysia MADANI.
"Bila semua kaum bergabung barulah negara akan diangkat martabatnya. Inilah semangat baharu dan landskap politik baharu yang akan kita bawa. Saya harap DAPSY dapat buang yang keruh dan ambil yang jernih," katanya ketika berucap pada pemilihan Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY 2024-2027 hari ini.
Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan meminta barisan Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY memperhebatkan sekolah demokrasi khususnya dalam pendidikan politik bagi memastikan golongan muda tidak mudah terjebak dengan politik toksik.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan ahli DAPSY agar mendekati akar umbi dan sentiasa turun padang bertemu rakyat serta memahami isu dihadapi golongan muda.
"Saf pemimpin DAPSY wajib untuk mendekati hak dan kepentingan rakyat dan saya ingin mengarahkan supaya pemimpin DAPSY mempunyai tanggungjawab di semua institut pengajian tinggi negara," katanya.
Turut hadir pada konvensyen hari ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How.
-- BERNAMA