GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta kepimpinan baharu yang akan menerajui parti negeri selepas ini akan kekal bersatu, seterusnya meletakkan kepentingan parti dan rakyat melebihi kepentingan peribadi.


Ringkasan AI
  • Chow Kon Yeow menyeru kepimpinan baharu DAP Pulau Pinang untuk kekal bersatu dan meletakkan kepentingan parti serta rakyat melebihi kepentingan peribadi.
  • Beliau mengucapkan terima kasih kepada parti dan perwakilan atas sokongan selama 25 tahun, serta menekankan kejayaan DAP dalam meningkatkan jumlah cawangan dan sokongan rakyat.
  • Kon Yeow mengumumkan penarikan diri dari jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang untuk memberi laluan kepada pemimpin baharu, dengan pemilihan jawatankuasa negeri baru berlangsung hari ini.


Beliau berkata demikian dalam ucapan terakhirnya selepas 25 tahun meneraju parti berkenaan di Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, DAP telah mencapai banyak kejayaan dan setiap pemimpin serta ahli mesti terus berusaha dengan dedikasi dan memberi komitmen berpandukan kepada visi dan misi parti serta menghormati rakyat.

"Ini adalah kali terakhir saya berucap sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang.

"Hari ini saya akan menyerahkan 'baton' kepada seorang pemimpin dan pasukan baru yang dipilih oleh para perwakilan untuk memimpin DAP Pulau Pinang ke masa depan.

"Apabila anda mengundi hari ini, anda mengundi untuk masa depan parti agar terus relevan sebagai pilihan utama untuk memimpin kerajaan negeri Pulau Pinang," kata Kon Yeow.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang, di Bayan Baru, dekat sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan penghargaan kepada parti dan para perwakilan yang telah memberikan sokongan kepadanya selama lebih dua dekad.

DAP Pulau Pinang menyaksikan perkembangan pesat dengan pertambahan cawangan daripada 20 kepada hampir 300 serta peningkatan sokongan rakyat yang membolehkan parti terus memimpin kerajaan negeri bersama rakan gabungan selama empat penggal berturut-turut sepanjang kepimpinan beliau.

Hari ini juga berlangsung sesi pemilihan semula jawatankuasa negeri untuk parti itu di Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027 dan 15 calon yang berjaya menempatkan diri dalam jawatankuasa negeri akan memilih Pengerusi DAP Pulau Pinang baharu dalam kalangan mereka.

Pada 5 Ogos lalu, Kon Yeow mengumumkan untuk tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan menarik diri dari pemilihan parti dalam Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang pada hari ini.

Jelasnya, keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu dalam melaksanakan rancangan penggantian kepimpinan negeri.