KLANG: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching dipilih sebagai Ketua Wanita DAP yang baharu, menggantikan Chong Eng yang berkhidmat selama 22 tahun bagi jawatan itu.

Chong pula dipilih sebagai penasihat Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Wanita DAP bagi penggal 2023-2026.

Pemilihan Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital serta Chong dibuat pada pemilihan sempena Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2023 di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin dipilih sebagai Timbalan Ketua Wanita, manakala Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang juga Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Penolong Setiausaha Antarabangsa Jawatankuasa Eksekutif Pusat P. Kasturiraani, masing-masing dilantik sebagai Naib Ketua.

Kongres sama juga menetapkan jawatan Setiausaha disandang Wong May Ing, Penolong Setiausaha (Nicole Tan Lee Koon), Bendahari (Alice Lau Kiong Yieng), Setiausaha Organisasi (Liow Cai Tung) dan Penolong Setiausaha Organisasi (M. Thulsi).

 

Setiausaha Publisiti (Heng Lee Lee), Penolong Setiausaha Publisiti (Lim Yi Wei), Setiausaha Antarabangsa (Jannie Lasimbang), Pengarah Pendidikan Politik (Syerleena Abdul Rashid) dan Biro Undang-Undang (Sangeet Kaur Deo).

Selain itu, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa bersama lima yang lain iaitu Lan Suet Ling, Sally Sian Keng Eng, Jennifer Poh Chiou Shya, Leong Yu Man dan Wong Siew Ki.

Terdahulu, kongres berkenaan dirasmikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.

-- BERNAMA