KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat memantau kandungan media sosial membabitkan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.


Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau kandungan media sosial berkaitan GISB, termasuk video lagu yang dijadikan parodi.
  • Timbalan Menteri Komunikasi menyatakan MCMC akan bekerjasama dengan agensi lain untuk menyiasat jika diperlukan dan boleh menurunkan hantaran parodi tersebut.
  • Orang ramai diminta mendengar nasihat pihak berkuasa seperti JAKIM dan polis, dan MCMC akan mengambil tindakan jika menerima laporan mengenai isu ini.


Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sehubungan itu pihaknya akan bekerjasama dengan mana-mana agensi yang bertanggungjawab menyiasat kumpulan berkenaan sekiranya terdapat permintaan.

"Antara tindakan yang boleh diambil adalah menurunkan hantaran berkenaan (parodi). Pada masa sama kita meminta orang ramai mendengar nasihat pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), polis dan lain-lain.

"Kalau kami terima laporan berhubung perkara itu, kami akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Infrastruktur Komunikasi JENDELA fasa satu di Felda Inas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan masyarakat menjadikan isu melibatkan GISB sebagai bahan parodi atau jenaka di pelbagai platform media sosial ketika ini.

Baru-baru ini lagu nyanyian ahli kumpulan terbabit termasuk melibatkan pengasas Al-Arqam tular di media sosial sehingga mendapat perhatian sejumlah masyarakat di negara ini.

-- BERNAMA