KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin yakin dapat mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun tampil menggunakan logo baharu.

Beliau yang digelar 'Ibu Bangsa Malaysia' oleh Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkata ini kerana warga parlimen itu sudah biasa dan tidak janggal dengan personalitinya sebagai wakil rakyat.

"Rakyat Ampang sudah kenal saya selama 15 tahun saya berkhidmat. Kami sudah macam keluarga, jadi mereka tidak janggal dan tidak kekok untuk bersama saya walaupun dengan lambang baharu sebab mereka melihat personaliti dan khidmat individu (bukan parti)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya di sini malam tadi.

Beliau berkata secara keseluruhan, kekuatan jentera parti di peringkat Parlimen Ampang hampir 5,000 orang.

Sementara itu, Zuraida berkata parti itu bergerak solo ketika PRU15, namun akan menyokong kerajaan baharu selepas pilihan raya bagi melindungi hak warga Ampang.

"Kita akan menyokong kerajaan memerintah negara, kerana saya nak pastikan bahawa hak rakyat Ampang dapat saya pertahankan iaitu mendapat peruntukan dan peruntukan ahli parlimen untuk saya berkhidmat kepada rakyat Ampang," katanya.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan barangan kempen kepada Pengarah PRU15 PBM bagi Parlimen Ampang Datuk Faridi Yaakob.

Turut hadir, Ketua Wanita PBM merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa Dr Daroyah Alwi, ADUN Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha dan Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahamda.

-- BERNAMA