Ringkasan AI
- Datuk Zuraida Kamaruddin diarahkan membayar RM100,000 kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti, walaupun Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan pampasan RM10 juta.
- Panel tiga hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Zuraida melanggar syarat bon, tetapi mengurangkan jumlah pampasan kepada RM100,000 kerana RM10 juta dianggap tidak munasabah.
- PKR mendakwa Zuraida melanggar bon yang ditandatangani pada 2018, yang mengikatnya untuk membayar RM10 juta jika meninggalkan parti, menyertai parti lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.
Bagaimanapun, panel tiga hakim terrdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk See Mee Chun, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam keputusan sebulat suara, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti.
Hakim See ketika membacakan penghakiman berkata bahawa pampasan RM10 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Zuraida adalah tidak munasabah.
Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan memihak kepada PKR dalam saman terhadapnya.
Hakim tersebut mendapati bon tersebut adalah kontrak yang sah dan mengikat.
Saman tersebut difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020, bagi pihak parti untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.
Dalam penyataan tuntutan, PKR mendakwa bahawa Zuraida telah menandatangani syarat bon pada 25 April 2018, yang mengikatnya untuk membayar RM10 juta kepada parti seperti yang dinyatakan dalam terma dan syarat bon tersebut.
PKR mendakwa bahawa Zuraida bersetuju untuk membayar RM10 juta kepada parti dalam tempoh tujuh hari, sekiranya berlaku beberapa kejadian, selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR, termasuk jika beliau meletak jawatan dari parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Parti itu mendakwa bahawa pada atau sekitar 24 Feb 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen (MP) PKR mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada parti tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang, dan akhirnya menubuhkan blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).
Zuraida, dalam pembelaannya mendakwa bahawa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Mengenai isu yang dibangkitkan oleh peguam perayu bahawa pampasan RM10 juta adalah tidak wajar, Hakim See berkata Mahkamah Rayuan mendapati bahawa RM10 juta tidak boleh dianggap sebagai pampasan yang wajar.
Hakim berkata walaupun terdapat kepentingan yang sah bagi pihak berkenaan untuk mengekalkan kedudukan politiknya, namun RM10 juta itu adalah tidak seimbang dengan kepentingan ynag ingin dilindungi parti dalam pelaksanaan bon tersebut.
"Seperti yang dijelaskan oleh pihak responden (PKR), RM10 juta ini tidak terhad kepada satu kerusi Parlimen sahaja, sebagai parti nasional, kerosakan yang berlaku adalah kepada semua 222 bahagian."
"Oleh itu, adalah tidak wajar bagi perayu untuk menanggung liabiliti RM10 juta seorang diri apabila formula RM10 juta itu berasaskan 222 bahagian untuk parti di peringkat nasional. Dilihat dari sudut ini, jumlah tersebut juga tidak seimbang," katanya.
Hakim See juga berkata bahawa jumlah tersebut tidak seimbang kerana 22 bulan perkhidmatan perayu yang tidak dipertikaikan sebagai ahli Parlimen tidak diambil kira.
Setelah mempertimbangkan bukti-bukti serta prinsip yang berkaitan dengan kepentingan sah, kesesuaian, dan keadilan, mahkamah mendapati bahawa RM10 juta bukanlah pampasan yang wajar, sebaliknya ia adalah berlebihan, tidak adil, dan tidak setimpal dengan kepentingan sah yang ingin dilindungi, kata beliau.
Beliau berkata, hakikat dan keputusan yang kekal adalah bahawa perayu telah melanggar syarat bon parti tersebut, dan pihak responden berhak mendapatkan pampasan yang wajar, tetapi bukan jumlah RM10 juta.
"Adalah tanggungjawab kami untuk menentukan jumlah pampasan yang wajar. Kami berpendapat bahawa jumlah tersebut harus mempertimbangkan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan dalam PRU-14 untuk sebuah kerusi Parlimen iaitu RM200,000, 22 bulan perkhidmatan perayu sebagai ahli Parlimen dan sumbangan perayu dalam parti serta kempen PRU-14."
"Kami fikir semua faktor ini adalah faktor sah yang menjurus kepada keadilan. Sehubungan itu, kami mendapati RM100,000 adalah pampasan yang wajar. Oleh itu, kami mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membenarkan tuntutan responden sebanyak RM10 juta".
"Namun, kami tidak boleh mengabaikan pelanggaran bon oleh perayu dan kami mengubah jumlah yang perlu dibayar kepada RM100,000. Rayuan ini dibenarkan sebahagian dan keputusan Mahkamah Tinggi diubah sejauh itu. Kami memutuskan untuk memberi kos sebanyak RM40,000 kepada perayu tertakluk kepada keputusan lanjut dari mahkamah," katanya.
Sementara itu, peguam William Leong Jee Keen dan Navpreet Singh, yang mewakili PKR, ketika ditemui, berkata mereka akan mendapatkan arahan daripada anak guam mereka, sama ada untuk merayu keputusan hari ini.
-- BERNAMA