Pendedahan itu dibuat menerusi satu Sidang Media Khas Deklarasi Aset Calon yang bertempat di Kukup, Tanjung Piai, di sini pada Jumaat. Katanya, pengisytiharan harta itu penting sebagai amalan bagi memastikan integriti dan akauntabiliti serta calon yang bebas rasuah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Sebagai calon di mana-mana Parlimen di Malaysia, ia adalah satu tanggungjawab bagi semua calon-calon mewakili Muda untuk mendeklarasi aset mereka.
"Deklarasi aset ni bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk berapa aset mereka. Tapi ia penting untuk kita pastikan adanya sikap akauntabiliti setiap calon bertanding.
"Ini juga penting supaya memastikan tiada konflik berkepentingan jika menjadi penjawat awam pada masa hadapan," katanya.
Aset keseluruhan yang dimiliki pengasas bersama MUDA itu berjumlah RM746,240.59 disamping tanggungan liabiliti berjumlah RM273,830.38. Beliau turut mengisytiharkan wang simpanan tunai yang secara keseluruhan bernilai RM16,986.20 di Maybank Malaysia Berhad dan RM820.00 di CIMB Singapura.
Menurutnya, setakat 30 September lalu, beliau memiliki simpanan berjumlah RM144,047.39 iaitu wang tunai di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA itu turut mempunyai pemilikan penuh terhadap sebuah firma guaman, Tetuan Lim Wei Jiet yang dibangunkan pada Jun lalu di Kuala Lumpur dengan modal berbayar RM20,000.
Wei Jiet turut mempunyai sebuah kereta jenis Honda City dengan anggaran nilai pasaran semasa RM48,000.00 selain sebuah kondominium di Petaling Jaya, Selangor dengan anggaran nilai RM319,500 pasaran semasa serta 50 peratus pemilikan kediaman terbabit.
Individu itu juga memiliki pegangan dan kepentingan saham bagi syarikat tersenarai awam tempatan bernilai RM24,300 dan New York Stock Exchange sebanyak RM166,519.
Hutang beliau pula berjumlah RM273,830.38 melibatkan RM255,396.00 bagi pinjaman rumah dan RM18,434.38 pinjaman kenderaan.
Butiran deklarasi aset dan harta itu turut dikemukakan menerusi surat akuan yang disahkan Pesuruhjaya Sumpah, Marliana Bakri, 1 November lalu.
Berdasarkan surat akuan berkenaan, beliau turut menerima gaji sebanyak RM8,500 sebulan bagi pekerjaan firma guaman yang diusahakannya.
Wei Jiet, dalam masa sama, memaklumkan kesemua calon yang bertanding mewakili MUDA akan mendeklarasikan aset masing-masing dalam masa terdekat.
"Saya harap terutamanya di Tanjung Piai calon-calon bagi pihak Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dapat mendeklarasi aset mereka dan bukan apabila sudah menjadi menteri baru ada rasa tanggungjawab untuk mengisytiharkan aset mereka.
"Mungkin pada masa hadapan, harapan saya agar SPRM mewajibkan supaya calon-calon yang bertanding untuk mendeklarasikan aset dan harta," tambahnya.
Pada PRU15, Wei Jiet menghadapi saingan tiga penjuru daripada calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon Perikatan Nasional (PN) Kol (PA) Najwah Halimah Ab. Halim di Parlimen Tanjung Piai.
Keputusan PRU14 yang lalu: