KAMPAR: Parti Warisan (Warisan) menampilkan dua beradik menjadi calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Kampar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar.

Penyandang kerusi Malim Nawar, Leong Cheok Keng kekal bertanding di kerusi itu manakala adiknya, Cheok Lung bertanding di kerusi Parlimen Kampar.

Kerusi Parlimen Kampar bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Cheok Lung dan Chong Zhemin (PH), Datuk Lee Chee Leong (BN) dan Wong Oi Foon (PN).

Pertembungan empat penjuru juga berlaku di DUN Malim Nawar dengan penyandangnya, Cheok Keng akan menentang calon PH, V Bavani; Chin Woon Kheong (BN) dan Aemeera Najwa Syed Mohamed (PN).

Pada PRU14, Cheok Keng memenangi kerusi DUN berkenan atas tiket DAP dengan majoriti 6,082 undi, sebelum keluar parti menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

DUN Tualang Sekah turut menyaksikan pertembungan empat calon iaitu Mohd Azlan Helmi Helmi (PH), Datuk Abd Rahman Md Som (BN) dan Pazli Abdullah Sani (PN).

[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka

Satu lagi kerusi DUN di dalam Parlimen Kampar iaitu DUN Keranji mempertemukan tiga calon melibatkan Koo Haai Yen (PH), Ng Wah Leng (BN) dan Foong Kar Sing (PN).

Pada PRU14, kerusi Parlimen Kampar, DUN Malim Nawar dan DUN Keranji dimenangi PH manakala DUN Tualang Sekah dimenangi BN.