PUTATAN: Arastam Pandorog dijangka berdepan tugas berat di kerusi Parlimen Semporna pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkemungkinan besar akan menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan), bagaimanapun, sehingga kini masih berteka-teki mengenai kerusi yang akan ditandinginya.

Beliau menyandang kerusi Parlimen Semporna sejak PRU9 pada tahun 1995 iaitu ketika bersama UMNO dan pada PRU14 (2018) beliau bersama Warisan yang diasaskannya.

Pada PRU14, Mohd Shafie memperoleh majoriti 20,674 undi dalam saingan empat penjuru.

Arastam merupakan 10 calon yang diumum oleh PKR bagi membarisi parti itu dalam pilihan raya ini.

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemilihan calon dibuat berdasarkan keupayaan dan beberapa kerusi masih belum dimuktamadkan termasuk Kinabatangan dan Sipitang.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju untuk menyerahkan kerusi Labuan kepada PKR.

“Saya fikir kita baru bersetuju bahawa (kerusi) Labuan akan dikembalikan kepada Keadilan.

“Tetapi ia baru dipersetujui dan tidak berbincang lagi. Biasanya (kerusi Labuan) ditandingi Amanah, tetapi mereka berundur,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Isnin.

Daripada 10 calon diumumkan, dua calon wanita ditampilkan masing-masing Datuk Liew Chin Jin di Tawau dan Noraini Abd Ghapur di Parlimen Kalalabakan.

Kerusi Parlimen Labuan kini disandang oleh Datuk Rozman Isli daripada Parti Warisan (Warisan).

Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan meletakkan calon di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah.

Selain PKR, UPKO hari ini mengumumkan lima calon yang bakal berentap pada PRU15.

Sementara DAP akan diperuntukkan tujuh kerusi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mendapat satu kerusi.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang menjalin kerjasama dengan PH pula meletakkan seorang calon di Parlimen Kota Marudu.

Berikut senarai penuh calon PKR bagi Parlimen Sabah: 

LIHAT SINI UNTUK KEPUTUSAN PRU14 

Putatan:  Awang Husaini Sahari (Penyandang)


Tawau: Datuk Liew Chin Jin (Penyandang)

Kota Belud: Madeli Bangali

Sepanggar: Mustapha Sakmud

Beaufort: Dikin Musah


Kudat: Thonny Chee

Ranau: Taufik Dahalan

Pensiangan: Sangkar Rasam

Semporna: Arastam IM Pandorog

Kalabakan: Noraini Abd Ghapur