BERA: Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Noraini Abdul Ghani mengecam tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenakan syarat permohonan permit 'walkabout' di tempat tumpuan awam.

Dakwanya, syarat itu seolah-olah bertujuan menyekat kepada calon untuk bertemu dengan pengundi di kawasan tumpuan awam.

"Saya rasakan ini sebagai satu sekatan dan satu 'usaha' untuk menyusahkan kami berjumpa dengan pengundi. Sedangkan kami cuma ada seminggu lagi untuk berjumpa pengundi.

"Sebelum ini tak perlu pun permit untuk 'walkabout' di pekan sehari atau pasar malam. Boleh sahaja berjumpa dengan pengundi," dakwanya ketika ditemui di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bera, di sini hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Mujahid isytihar harta RM2.54 juta, miliki dua kondo

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Beliau yang merupakan Ketua Wanita PH Pahang berkata, arahan mengenai syarat yang didakwa baharu itu, diterima melalui hantaran di aplikasi 'WhatsApp' daripada pegawai pemantau SPR pada pagi Khamis.

Jelasnya, beliau sendiri perlu berjumpa dengan kira-kira 24,000 pengundi di DUN Guai dan berasakan perkembangan terbaharu itu menambah beban dan menyusahkan.

"Mana nak urus permit di balai polis, mana nak pergi berjumpa pengundi. Bayangkan calon Parlimen kita perlu berjumpa 77,000 pengundi dengan sekatan sebegitu," katanya.


Pada masa sama, Noraini juga menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kadar caj Permohonan Permit Iklan Pilihan Raya yang dikemukakan Majlis Daerah Bera (MDB).

Dakwanya, kadar caj itu adalah keterlaluan jika dibandingkan dengan kadar dikenakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

"Berbeza jika berada di MPK, mereka cuma mengenakan deposit sebanyak RM5,000 sahaja.

"Tapi MDB bukan sahaja telah menetapkan deposit sebanyak RM5,000 sama seperti MBK, tetapi juga mengenakan caj harian untuk setiap bahan kempen yang dipamerkan.

"Iklan papan tanda dikenakan RM5 sehari, bayangkan berapa jumlah yang perlu dibayar untuk letak papan tanda sepanjang kempen.

"Untuk caj sepanduk dan kain rentang adalah RM10 sehelai bagi tempoh tujuh hari. Bunting, RM1 sehari bagi seunit. Poster RM10 sehari untuk 100 keping, bendera RM10 sehari untuk 100 keping dan pelekat permit itu RM5 perlu dibayar bagi setiap keping.

"Maknanya, kalau kita ada 1,000 bahan kempen, kita perlu bayar RM5,000 untuk pelekat sahaja," luahnya yang mendedahkan telah berbelanja hampir RM4,000 bagi pemasangan bahan kempen.

Sementara itu, calon PH Parlimen Bera, Abas Awang turut mengeluh apabila terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM13,000 bagi tujuan sama.

"Kenapa nak ditekan sewaktu kami yang sedang berkempen untuk menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat? Saya tak tahulah, sama ada mereka 'main' politik atau apa. Tapi ini dikira melampau dan tidak patut," dakwanya.