LIPIS: Pengundi di Parlimen Lipis, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta, harus menterjemah sokongan undian kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Calon BN kawasan itu, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak berkata demikian sambil menegaskan, ia penting bagi memastikan kepesatan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.

"Kita telah merangka satu pelan pembangunan di kawasan Benta untuk mewujudkan Bandar Benta 2.0 yang mana ia dirancang secara seimbang dalam bentuk keperluan untuk generasi sedia ada dan akan datang.

"Sebagai contoh, kita memberi fokus utama dari segi perumahan, khusus untuk anak muda yang ingin mendapatkan perlindungan asas iaitu kediaman buat mereka dan keluarga," katanya sempena Program Ramah Mesra bersama penduduk di Taman Teratai Benta di sini semalam.

Hadir sama, calon BN Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.


Mohd Soffi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, perkara kedua yang akan dilaksanakan ialah membuka banyak peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan di Benta.

Tambahnya, fokus turut diberikan dari aspek keharmonian kerana komposisi penduduk di DUN Benta dilihat seimbang antara Melayu, Cina, India dan lain-lain.

"Kita juga mengambil kira faktor peluang pendidikan buat anak-anak muda kerana ia menjadi tunjang utama dalam memajukan masyarakat, agama dan negara.

"Agenda pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerana telah terbukti mampu memberi kekayaan yang boleh dijadikan sebagai asas untuk membina keluarga berjaya," ujarnya.

Mohd Soffi turut menjelaskan, kawasan DUN Benta dilihat sebagai penyumbang utama kepada kepesatan pertumbuhan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus yang dirangka Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelasnya, Pahang Barat Plus memberi tumpuan kepada pelancongan, pertanian, mineral, perkayuan dan perkhidmatan dijangka mampu memastikan pembangunan seimbang membabitkan setiap daerah di negeri ini.

"Wilayah Pahang Barat Plus ini adalah satu kawasan yang dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kawasan maju yang lain di Pahang atau negeri jiran.

"Kita lihat potensi ini ada dan perlu digarap dan diperjanakan untuk menjadi satu elemen utama dalam merangka plan pembangunan dan kemajuan bagi DUN Benta," katanya.