Jelasnya, Pas itu sendiri terdiri daripada gabungan golongan agamawan dan profesional yang mana diyakini dapat memperkukuhkan perjuangan pakatan itu.
Maka tegas beliau, adalah tidak wajar untuk masih melabelkan Pas sebagai ‘parti pak lebai’ serta percaya parti itu sudah berubah dan cukup matang seiring usianya.
“Parti pak lebai inilah yang bersih tak ada rasuah, parti pak lebai inilah yang berjaya menaikkan semula semangat perjuangan orang Melayu dan mempertahankan agama ketika ICERT dibawa oleh PH (Pakatan Harapan) ketika itu.
“Jadi saya yakin gabungan teknokrat dengan para ulama dalam kepimpinan Pas dan Bersatu dalam PN, kita ada adunan yang cukup baik, tawaran yang cukup menarik dan seimbang bagi saya, dunia dan akhirat,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Beliau memberi contoh kepimpinan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang tidak didorong fahaman Islam yang ekstrem dan jumud tetapi tegas bersandarkan syariah.
Pencapaian pemimpin-pemimpin Pas selaku Menteri dan Timbalan Menteri dalam kerajaan Persekutuan juga katanya menunjukkan bahawa mereka profesional dalam melaksanakan tugas.