Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menasihatkan pengundi Sabah supaya bijak membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini, dengan memilih parti yang mampu merealisasikan hasrat itu dan bukannya parti yang berlandaskan dakyah atau sentimen semata-mata.
"Calon BN-GRS mampu membawa perubahan dan pembangunan lebih baik di Sabah jika diberi mandat pada PRU15 kerana kita adalah calon kerajaan negeri. Kemenangan kita bakal menyumbang kepada kemenangan BN secara keseluruhan bagi membentuk kerajaan baharu Persekutuan.
"Ini sudah tentu memberi kelebihan kepada kita untuk membawa pembangunan di Sabah. Justeru, rakyat Sabah perlu memilih calon BN dan GRS pada hari mengundi Sabtu ini," ketika kepada pemberita selepas siri jelajah kempen di Kampung Tanjung Aru, di sini. hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga berkata PRU15 ini sangat penting untuk mengembalikan kestabilan politik negara agar pelabur kembali yakin untuk datang ke negara ini, seterusnya menjana ekonomi bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan serta pekerjaan kepada rakyat termasuk di Sabah.
Beliau berkata BN perlu diberi kemenangan supaya apa yang sudah dirancang sebelum ini termasuk yang digariskan dalam Belanjawan 2023 dapat dibentang semula dan dilaksanakan sebaik mungkin kerana banyak kebaikan telah disediakan untuk rakyat.
"Jika tidak, apa diusahakan ini hanya sia-sia dan akhirnya rakyat mengalami kerugian, lebih-lebih lagi jika kerajaan dibentuk nanti tidak sehaluan dengan kerajaan BN-GRS di peringkat negeri," katanya.
-- BERNAMA