Pengerusi BN Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata 40 wakil rakyat itu yang telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas akan membantu kempen di kawasan masing-masing.
"Mereka (ADUN) akan bekerja bersungguh-sungguh kerana mereka akan membalas jasa baik pengundi memberi mereka mandat untuk lima tahun akan datang. Tidak ada yang lebih baik daripada memberikan sumbangan tenaga, buah fikiran dan perancangan wakil-wakil rakyat itu sewaktu PRU15 di kawasan masing-masing.
"Apa yang kita lihat bahawa jentera adalah penting dalam menghadapi PRU. Jadi di semua 26 bahagian jentera BN cukup bersemangat, mempunyai struktur yang cukup berkesan dan dalam mendekati pengundi-pengundi, semuanya itu harus dilakukan dengan penuh keikhlasan," kata ADUN Benut itu kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera BN Simpang Renggam di Simpang Renggam di sini malam tadi.
Sementara itu, Hasni yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam berkata kejayaan BN Johor dalam PRU15 perlu bermula dengan kemenangan di kerusi Parlimen itu agar menjadi pemacu kejayaan gabungan itu di negeri ini.
Hasni berkata usaha beliau untuk meraih kejayaan di Simpang Renggam bukanlah bermula dengan kosong tetapi selepas kemenangan pada PRN Johor.
"Saya kira permulaan (di Simpang Renggam) tidak kosong. Selepas PRN, Simpang Renggam jadi tempat paling atas (tumpuan) kerana ada pemimpin utama negeri, jadi hasrat pengundi bertambah semangat sebab PRN berjaya dan lengkapkan usaha BN terajui Johor.
"(Dan) kemenangan (pada PRU15) harus bermula di Simpang Renggam sebagai satu rujukan dan galakan semangat bagi BN teruskan agenda pembangunan negeri," katanya merujuk kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga ADUN Machap, satu daripada kerusi DUN dalam Parlimen Simpang Renggam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cabaran yang harus dipikul sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Johor dan juga calon BN di Simpang Renggam.
Bekas Menteri Besar Johor itu ditentang penyandang kerusi Parlimen berkenaan, Dr Maszlee Malik daripada Pakatan Harapan (PH-PKR), wakil Perikatan Nasional (PN) Mohd Fazrul Kamat (PN-Bersatu) dan Kamal Kusmin (Pejuang-Putra).
-- BERNAMA