MUAR: Perkhabaran terbaharu mengenai dua rakyat negara ini termasuk Mohammed Nazir Lep, 48 yang ditahan di Kem Guantanamo di Cuba sudah diserahkan kepada Malaysia, memberi khabar gembira kepada keluarga yang menanti kepulangan sejak 24 tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Berita Kepulangan: Dua rakyat Malaysia, termasuk Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin, yang ditahan di Kem Guantanamo sejak 2003, telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia, memberi harapan kepada keluarga mereka yang menanti selama 24 tahun.
  • Persediaan Keluarga: Keluarga Mohammed Nazir telah menyediakan rumah baharu di Kampung Jeram Masjid untuknya memulakan kehidupan selepas kepulangan.
  • Latar Belakang Penahanan: Kedua-dua individu tersebut pernah menghadapi tuduhan berkaitan serangan bom di Bali (2002) dan Jakarta (2003) sebelum dijatuhi hukuman penjara 23 tahun di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat.


Najib Lep, 60 berkata, berita kepulangan adiknya yang hanya diketahui menerusi media itu seakan memberi sinar harapan kepada keluarga di Kampung Jeram Masjid di sini.

"Sekiranya benar sebagaimana dikhabarkan, kami amat bersyukur kerana penantian sejak sekian lama akhirnya terlerai dan harapan untuk bersatu semula jadi kenyataan.

"Kami sekeluarga menanti kepulangannya, semoga kami dapat bertemu secepat mungkin, kalau boleh esok," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dua tahanan teluk Guantanamo rakyat Malaysia tiba di tanah air

Sebuah rumah turut dibina untuk Mohammed Nazir di Kampung Jeram Masjid di sini, untuknya memulakan hidup baharu apabila pulang nanti.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan memberitahu AS menyerahkan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Tahanan Guantanamo di Cuba.

Seorang lagi yang ditahan dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia ialah Mohammed Farik Amin.

Kedua-dua mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006.

Mohammed Nazir dan Mohammed Farik yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.

Kedua-dua mereka kemudian dijatuhi hukuman penjara 23 tahun dan boleh dibebaskan menjelang 2029. - Sinar Harian