BANGKOK: Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok akan mengadakan lawatan konsular pada Ahad ke atas 15 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dan kini ditempatkan di kem tentera Fort Vachiraprakan di Wilayah Tak, utara Thailand untuk menyediakan bantuan konsular yang diperlukan.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui, berkata 15 rakyat Malaysia berusia antara 21 hingga 68 tahun, termasuk tiga wanita adalah antara 261 individu yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dan dihantar pulang ke Thailand pada Rabu lepas.

Beliau mengesahkan semua mangsa rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Bong berkata seorang pegawai konsular dari Kedutaan Malaysia, Marwan Mustafa Kamal, telah ditugaskan untuk melawat dan memberikan bantuan yang diperlukan kepada mangsa.

"Marwan dijadual bertemu Kingkan Choopitakpaopong dari Bahagian Antipemerdagangan Orang di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia di Mae Sot pada Ahad bagi membincangkan proses penghantaran pulang mangsa rakyat Malaysia.

"Kami telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Thailand untuk melawat mangsa rakyat Malaysia di Mae Sot. Kami akan mengesahkan identiti mereka, menghubungi waris terdekat dan memudahkan penghantaran pulang mereka ke Malaysia," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata kedutaan Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand dan komited untuk menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terlibat.

Menurut beliau, identiti kesemua mangsa perlu disahkan bagi memastikan mereka adalah warganegara Malaysia.

Pada Rabu, Bernama melaporkan bahawa 15 rakyat Malaysia adalah antara mangsa warga asing yang diperdaya sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar dan diselamatkan oleh pihak berkuasa negara itu sebelum dihantar ke Thailand untuk proses penghantaran pulang.

Pihak berkuasa Myanmar menyelamatkan mangsa dari KK Park dan Shwe Kokko, dua bandar sempadan yang terkenal dengan aktiviti pemerdagangan manusia, sebelum memindahkan mereka ke Thailand untuk proses selanjutnya dan penghantaran pulang ke negara masing-masing.

-- BERNAMA