Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, ia bagi menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, untuk memastikan kesucian Islam dipelihara dan institusi agama dilindungi dari dicemari oleh kegiatan politik kepartian.
Sehubungan itu, katanya, JAIPk mengeluarkan peraturan dan panduan mengenai program dan aktiviti yang dianjurkan di masjid, surau, maahad tahfiz dan sekolah agama sepanjang kempen PRU15.
Menurut beliau, antaranya, semua solat jemaah fardhu atau sunat dipimpin pegawai masjid, kelas pengajian dan Al-Quran menurut yang telah dijadualkan, bacaan khutbah Jumaat disampaikan oleh pegawai masjid atau surau (jika tidak menjadi calon atau pekerja parti) dan calon yang ingin berjemaah hanya sebagai makmum.
Dalam pekeliling yang dikeluarkan hari ini, beliau turut memaklumkan bahawa program tazkirah dan ceramah agama yang melibatkan penceramah luar yang aktif dalam mana-mana politik, hendaklah ditangguhkan.
Harith Fadzilah juga memaklumkan mengenai beberapa perkara yang dilarang sama sekali sepanjang kempen PRU15.
Antaranya ialah, calon, pemimpin dan petugas parti politik dilarang mengambil alih menjadi imam dan khatib daripada pegawai masjid di samping dilarang menyampaikan khutbah Jumaat yang bukan dikeluarkan JAIPk.
Selain itu, katanya, semua elemn berkempen tidak dibenarkan seperti ceramah, ucapan, lawatan, pemasangan lambang, bendera, poster serta mengedarkan risalan kempen dan manifesto.
“Arahan ini berkuat kuasa mulai solat Maghrib hari Jumaat, 4 Nov sehingga solat Subuh 20 Nov 2022,” ujarnya.
Menurutnya, jika terdapat kekeliruan pihak masjid dan surau boleh merujuk untuk mendapatkan nasihat daripada Orang Besar Jajahan serta pegawai tadbir agama.