Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden PCS, Datuk Ansari Abdullah menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.
"Tujuan Parti Cinta Sabah bukanlah untuk merebut jawatan mahupun ganjaran.
"Apa yang penting kepada kami di Parti Cinta Sabah adalah mendapatkan hak rakyat Sabah seperti apa yang termaktub secara keseluruhannya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan laporan IGC 1962," katanya.
Menurut Ansari, keputusan tersebut diambil susulan kegagalan wakil rakyat di kawasan berkenaan menunaikan janji yang ditawar seperti pengembalian hak Sabah berdasarkan laporan IGC 1962 dan MA63 sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
"Sudah berulang kali kita di Sabah dijanjikan pengembalian semula hak Sabah 100 peratus seperti yang termaktub dalam Laporan IGC 1962 dan MA63 namun selepas PRU apabila berkuasa perkara ini tidak pernah berlaku.
"Pelbagai pihak berjanji manis di hadapan rakyat Kimanis pada PRU 14 dan PRN (2020) namun yang dijanjikan tidak pernah dilaksanakan," dakwa Ansari.
Susulan pengumuman Ansari, Barisan Nasional (BN) dijangka bakal berhadapan dengan PCS dan Parti Warisan di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU15.
Parti Warisan pada PRU15 akan meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof sebagai calon di kerusi Parlimen Kimanis.
Manakala, penyandang kerusi tersebut, Datuk Mohamad Alamin daripada BN dijangka bakal mempertahankan kerusi yang dimenangi sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2020 setelah kemenangan Datuk Seri Anifah Aman (BN) pada PRU14 diisytiharkan terbatal oleh SPR melalui petisyen Datuk Karim Bujang (Warisan).