Beliau berkata, fokus utamanya adalah untuk berbakti kepada rakyat kawasan tersebut dan berbesar hati apabila pucuk pimpinan parti memberi kepercayaan kepadanya untuk mempertahankan kerusi yang disandang Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow itu.
Selain itu, katanya, Parlimen Tanjong mempunyai nilai sentimental memandangkan ia kubu DAP dan kerusi tersebut dipertahankan sejak 1986 hingga kini.
“Kawasan Tanjong adalah kawasan Ketua Menteri dan dia bersedia biarkan saya teruskan (khidmat) di situ. Kerusi Tanjong amat bermakna kepada saya sebab semua tahu, Tanjong adalah kerusi DAP sejak 1986,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang selepas Majlis Konvoi Harapan PRU15 di Persiaran Karpal Singh, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, ditanya mengenai Lim Guan Eng akan membayangi perjalanan politiknya, Hui Ying berkata, beliau memandang abangnya itu sebagai seorang pemimpin tertinggi parti.
"YB Lim Guan Eng adalah Pengerusi DAP Kebangsaan, jadi saya lihat dia adalah sebagai pemimpin tertinggi parti, dia adalah pemimpin saya," katanya.
Pada majlis itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan dua calon wanita akan bertanding di dua Parlimen negeri ini pada PRU15.
Mereka adalah Lim Hui Ying calon bagi Parlimen Tanjong manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima Syerleena Abdul Rashid pula bagi kerusi Bukit Bendera.
Selain itu, Anthony juga mengumumkan Hui Ying akan melepaskan jawatan Senator dalam masa terdekat untuk menumpukan perhatian di Parlimen Tanjong dan jawatan itu akan diisi pemimpin daripada kaum India secepat mungkin.