SEREMBAN: Masalah teknikal dipercayai punca calon bagi Parlimen Jempol dan Kuala Pilah tidak diumumkan semasa Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) oleh Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam Selasa.

Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Salim berkata, pengumuman untuk kedua-dua calon berkenaan kemungkinan akan diumumkan esok.

"Saya difahamkan ada masalah teknikal sikit. Jadi kemungkinan akan diumumkan esok dan paling lewat pun sebelum Sabtu ini (penamaan calon)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dua kerusi parlimen di negeri ini iaitu Parlimen Kuala Pilah dan Jempol tidak diumumkan oleh Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di WTCKL, pada Selasa.

Selain dua kerusi itu, turut tidak diumumkan adalah Parlimen Tanjung Karang, Bandar Tun Razak, Kuala Nerus dan Tumpat.




Jelas Mustafa, nama calon bagi dua kerusi parlimen tersebut telah diserahkan kepada pucuk pimpinan di peringkat pusat sebelum ini.

Nama calon saya tak dapat ulas sebab masih di peringkat pusat, saya tidak dimaklumkan tentang perkara ini, jadi itu keputusan pusatlah macam mana," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan semua pihak terlibat supaya bersabar dan perlu akur apa sahaja yang akan diputuskan parti.

"Dalam keadaan hari ini kita kena bersabarlah dan akur apa juga keputusan yang telah dimuktamadkan parti.

"Sebagai jentera parti bekerjalah untuk kemenangan parti. Menerima keputusan dengan hati yang terbuka," katanya. -SInar Harian