Kon, 41, seorang ahli perniagaan dan merupakan calon muka baharu BN berkata isterinya, Gan Yen Lee, 41, yang bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam di sini mengambil keputusan berkenaan sebagai tanda sokongan kepadanya selepas 'terjun' ke dunia politik.
"Gerak kerja kempen saya akan bermula seawal 7.30 pagi dan berakhir 12 tengah malam, jadi isteri akan mengikut saya untuk berjumpa pengundi di Kota Melaka selain sentiasa mengingatkan waktu makan serta menyediakan bekalan minuman teh Cina untuk dibawa bersama.
"Sokongan yang diberikan isteri sedikit sebanyak membakar semangat saya untuk bekerja lebih kuat dalam tempoh 14 hari berkempen ini agar lebih banyak pengundi dapat didekati," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Kon yang memiliki dua anak lelaki berusia lapan dan 11 tahun berkata, masa untuk bersama anak-anak juga sangat terhad dan hanya dapat berjumpa pada waktu pagi namun mereka memahami perubahan jadual hariannya.
Menurut Kon, antara cabaran besar dihadapi beliau di Kota Melaka yang merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) ialah jumlah pengundi berdaftar yang besar di Parlimen itu membabitkan 164,140 pemilih berbanding lima parlimen lain di Melaka.
"Kempen pilihan raya bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi pengundi di Kota Melaka adalah yang tertinggi berbanding lima lagi Parlimen di Melaka dan saya menyasarkan untuk berjumpa sekurang-kurangnya 80,000 orang iaitu separuh daripada lebih 160,000 pengundi berdaftar yang ada.
"Satu daripada pendekatan kempen yang disusun ialah saya perlu turun padang atau berkempen di kawasan tumpuan seperti di pasar pagi atau malam, kedai makan dan medan selera," katanya.
Beliau berkata, setakat empat hari berkempen bermula Ahad, gerak kerja yang telah dilakukan mencapai antara 30 hingga 40 peratus dan usaha itu akan dipertingkat sehingga tempoh kempen tamat pada tengah malam 18 Nov ini.
Pada PRU15, Kon akan berdepan pertandingan empat penjuru antara penyandang Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan-DAP), Suhaime Borhan (PN-Gerakan) dan Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Bebas).
Pada PRU14, Khoo menang dengan majoriti 49,175 undi menewaskan Eric Choo Wei Sern (BN) dan Goh Leong San (Bebas). - BERNAMA