KLUANG: Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihatkan pengundi muda supaya bijak membuat keputusan dalam menentukan pemimpin pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15, Sabtu ini.

Hishammuddin juga mengingatkan golongan berkenaan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat kempen tidak tepat yang disebarkan melalui media sosial seperti TikTok kerana ia boleh mengganggu penilaian mereka dalam membuat keputusan.

"Pengundi muda perlu bijak membuat keputusan dan bukan bersandarkan sentimen di media sosial terutamanya apa yang keluar dalam aplikasi seperti TikTok yang banyak menyebarkan berita kurang tepat," katanya.

Hishammuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pekebun kecil makmur bersama penduduk Kampung Melayu Batu 4, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Menteri Kanan Pertahanan itu menafikan dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalami masalah kewangan kronik sehingga kekurangan peluru ketika melakukan latihan menembak.

Ketika ditanya mengenai isu berkenaan, beliau berkata kerajaan sentiasa komited untuk memenuhi keperluan dan permintaan ATM serta tidak pernah menghalang mana-mana pegawai tertinggi pasukan keselamatan itu jika ada untuk membawa isu kekurangan melibatkan pasukan keselamatan itu.

Baru-baru ini media melaporkan, Anwar ketika berceramah pada Jelajah PH di Seri Manjung, Perak, mendakwa ditemui seorang pegawai kanan tentera yang mengadu kononnya ATM menghadapi masalah kewangan kronik sehingga kurang peluru ketika latihan menembak malah ada anggota terpaksa menggunakan wang saku sendiri untuk menempah pakaian seragam.

-- BERNAMA