ARAU: Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak pasti dengan keputusan menutup semua bilik gerakan BN Bahagian Arau malam ini, namun berkata ia mungkin kerana pimpinan bahagian tidak berpuas hati dengan pemilihan calon luar.

Penyandang kerusi Parlimen Arau itu berkata, beliau 'segan' atau malas untuk mengambil tahu mengenai perkara itu.

Menurut beliau, penutupan itu berkemungkinan disebabkan semua pimpinan bahagian berada di Kuala Lumpur dan mereka mahu 'berehat' sebentar memandangkan bilik gerakan di kawasan Parlimen itu tidak pernah ditutup.

"Cuma saya hendak beritahu saya sedih, kerana dalam sejarah dan sepanjang perjuangan saya, perkara atau situasi ini tidak pernah berlaku.

"Penutupan bilik gerakan dan penurunan bendera BN juga mungkin disebabkan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO, Barisan Nasional di Arau tidak berpuas hati dengan proses pemilihan calon", katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: PRU15: Bilik Gerakan BN Arau ditutup, kali pertama dalam sejarah - Shahidan


Tambahnya, sewajarnya calon-calon yang akan dipilih mewakili BN dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) adalah daripada cadangan yang dikemukakan daripada peringkat bahagian.

"Calon tidak boleh dipilih daripada nama yang berada luar daripada senarai lima nama yang dihantar oleh bahagian.

"Berdasarkan Fasal 15.13.1 Perlembagaan UMNO, tanggungan, kuasa, dan kewajipan Jawatankuasa Bahagian adalah untuk mencadangkan calon-calon bagi pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, wakil-wakil parti bagi menganggotai Majlis Bandaraya, Perbandaran, Bandaran Tempatan dan Daerah melalui mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian,

"Ia bukan terletak di bawah Badan Perhubungan UMNO Negeri, bukan di bawah Top 5," tambah beliau.

Dalam pada itu, Shahidan menyatakan bahawa sudah mendengar ura-ura mengenai ada calon lain yang berada di luar nama yang disenaraikan untuk diletakkan di Parlimen Arau.

"Kalau tidak mahu pilih saya, tidak apa, pilih yang lagi empat yang disenaraikan itu, jangan letak nama di luar itu.

"Kalau letak juga saya nak beritahu dan maklumkan, calon Barisan Nasional itu tidak boleh menang, dengar saya sebut sekali lagi, dia tidak boleh menang," tegas Shahidan.