Tahun ini, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), nama Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) kembali disebut selepas beliau menjadi calon bagi kerusi Parlimen Ipoh Barat.
Tidak bertanding pada PRU14, Kayveas bertanding menggunakan logo jam sebagai calon Bebas pada PRU15 selepas dilarang menggunakan logo partinya susulan krisis melibatkan MyPPP.
Ketika ditanya mengapa memilih kerusi Parlimen Ipoh Barat, beliau menegaskan di situlah MyPPP bermula dan dengan kembali ke kawasan tersebut, beliau berharap parti itu mampu bangkit semula selepas ini.
“Inilah rancangan kita. Selepas ini kita akan bermula semula berfungsi sebagai macam mana kita bermula pada tahun 1953 untuk banyak belia-belia yang ada ini.
“Saya nak beritahu mereka bagaimana PPP akan kembali di Perak…kita akan kembali full swing di Perak,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengimbas kembali sejarah parti itu, Kayveas berkata MyPPP bermula di Perak pada tahun 1953 dengan presiden parti itu sebelum ini ramai bertanding di kerusi tersebut dan menang di sana.
“Kemudian pada tahun 1969 hingga 1974, kita menguasai negeri, menjadi pentadbir negeri Perak pada waktu itu bersama UMNO dan persahabatan itu kemudian menjadi Barisan Nasional (BN).
“Selama kita bersama BN, kekuatan kita merosot sebab dulu kita pembangkang di sini (Perak) dan di Perak juga banyak pembangkang sejak dulu.
“Selepas tidak lagi menjadi pembangkang, kedudukan kita di sini diambil DAP,” ujarnya.
Dalam PRU15, Kayveas yang bertanding atas tiket Bebas berdepan saingan empat penjuru menentang penyandang kerusi itu, M Kulasegaran (PH), Chek Kwong Weng (PN) dan Low Guo Nan (BN).