KLEBANG: Kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) dijangka dapat menawan semula negeri Melaka sekali gus mengelakkan perpecahan Melayu dan Islam.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menegaskan, meskipun belum ada keputusan muktamad dari Pas, namun, parti itu sebaiknya membuat keputusan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Dalam masa sama, Mohamad Ali berkata, memandangkan Pas sebelum ini menyebut enggan melihat berlaku perpecahan, maka menjalin kerjasama dengan UMNO akan mencapai matlamat itu.

Seruan itu juga, jelas Mohamad Ali, sudah dipanjangkan dalam pertemuan beliau dengan Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek mengenai keperluan MN diperkukuhkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

"Ada tanggapan Pesuruhjaya Pas, mereka kata tak mahu perpecahan, tapi saya jelaskan jika mereka tak bersetuju dengan UMNO, maka perpecahan dengan umat Melayu dan Islam akan lebih besar.

"Ini kerana UMNO di Melaka parti besar dan jika Pas tidak bersama UMNO makna Pas memilih satu perpecahan besar.

"(Sebaliknya) jika bersama Bersatu… parti kecil, jadi kita letakkan harapan supaya Pas memikirkan sebaik-baiknya untuk kita bersama dan akhirnya UMNO dan Pas dapat bersama di PRN Melaka dan menawan semula Melaka dengan lebih selesa," jelas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dalam sidang media di sini, pada Isnin.

Mohamad Ali turut memaklumkan, pendirian UMNO Melaka itu telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

"Pihak kami semalam telah menyatakan pendirian kepada Perdana Menteri dalam perbincangan bersama bahawa semua Ketua UMNO Bahagian Melaka menolak kerjasama dengan Bersatu.

"Kita mahukan perkukuhkan Muafakat Nasional bersama Pas. Saya fikir ini ketetapan terakhir yang kita buat… maknanya tidak ada lagi perbincangan atau apa-apa pendekatan untuk bersama Bersatu kerana kita sudah nyatakan pendirian dan kita tak boleh berbalik lagi dengan pendirian kita,” kata beliau lagi.