JOHOR BAHRU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini semakin giat melakukan pembunuhan karekter kepada pemimpin-pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN), dakwa Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya, beliau berkata, tidak cukup dengan usaha mencemar imej bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini usaha itu ‘melarat’ pula kepada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Wan Saiful berkata, kesabaran PN ada hadnya, dan jika usaha ‘character assassination’ itu tidak dihentikan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mendedahkan kepincangan pemimpin UMNO dan BN.

“Hari ini dia cuba untuk membunuh karekter Tan Sri Muhyiddin Yassin. Disebarkan pelbagai tohmahan dalam rangka mereka nak buat character assassination terhadap Tan Sri Muhyiddin.

“Dan dia mula melarat. Mula-mula target-nya ialah Tan Sri Muhyiddin, kini dah mula melarat kepada Tuan Guru Abdul Hadi.

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI



“Saya nak beri amaran, kesabaran kita ini ada had. Jangan nak uji yang bukan-bukan. Kita boleh dedahkan pelbagai perkara yang membabitkan kepincangan baik pemimpin UMNO semasa mereka memerintah dahulu, atau yang cuba dilakukan oleh pemimpin UMNO hari ini,” katanya lagi.


Perkongsian tersebut merupakan sebahagian daripada siri Jelajah Penerangan Isu Semasa, yang berlangsung di DUN Buloh Kasap, Segamat, pada Isnin.

Wan Saiful berkata, usaha itu adalah kerana UMNO dan BN merasa ‘tercabar’ dengan usaha yang dilakukan Muhyiddin sewaktu menjadi Perdana Menteri.