SHAH ALAM: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan isterinya dimasukkan ke wad hospital di Kuala Lumpur akibat kanser usus tahap 4.

Dalam satu video yang dimuat naik ke akaun media sosial Facebook miliknya pada Isnin, beliau turut meminta agar semua sahabat handai, kenalan dan rakan-rakan mendoakan isterinya sembuh seperti sedia kala.

"Kali ini saya lalui ujian amat berat apabila isteri saya dimasukkan ke wad hospital kerana kanser usus tahap 4 di saat anak-anak yang masih kecil.

"Mohon doakan isteri saya sembuh seperti sedia kala," katanya.

Wan Saiful berkata, isterinya telah menjalani rawatan kemoterapi sejak tahun 2020 lagi.

Namun kali ini keadaan isterinya telah menjadi kritikal kerana kanser itu telah merebak ke organ lain.




Lebih memilukan lagi, katanya, apabila anaknya yang berusia 10 dan 12 tahun melihat keadaan ibu mereka itu.

Namun jelasnya, atas sebab melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat, beliau kini akan berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk menjaga isteri.