KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul membawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan selepas beliau didakwa membuat kenyataan yang mengelirukan dewan pada 21 Mac lalu.


Ringkasan AI
  • Dewan Rakyat meluluskan usul untuk membawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan. Keputusan ini dibuat selepas beliau didakwa membuat kenyataan mengelirukan dewan pada 21 Mac lalu, mengenai pertuduhan kes mahkamah terhadapnya.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menjelaskan bahawa kenyataan Wan Saiful memberi gambaran bahawa individu tertentu boleh memanipulasi untuk membatalkan atau menggugurkan pertuduhan kes mahkamah terhadap beliau.
  • Usul yang dibawa oleh Azalina disokong oleh M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat). Sebelumnya, Wan Saiful mendakwa di Dewan Rakyat bahawa beliau dihubungi dan diugut oleh individu tertentu untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tawaran habuan dan pembatalan pertuduhan mahkamah.


Keputusan tersebut dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendapat sokongan majoriti oleh Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Azalina bangkit memaklumkan Wan Saiful pada 21 Mac telah menyatakan bahawa pertuduhan kes mahkamah terhadapnya boleh dibatal dan digugurkan.

"Dewan yang mulia ini memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor di mana secara tersirat telah mendakwa bahawa ada individu yang konon bertindak bagi Kerajaan boleh memanipulasi untuk membatal atau mengugur pertuduhan kes mahkamah terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

"Bahawa perbuatan ini telah menunjukkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor telah menyebut perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes tersebut.

"Maka ini dipersetujui bahawa Yang Berhormat Tasek Gelugor hendaklah dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan untuk membuat penentuan sama ada kenyataan yang dibuat dalam Dewan itu mengelirukan Dewan dan merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes tersebut...

"...dan mengambil apa-apa keterangan yang difikirkan perlu  dan lepas itu Jawatankuasa ini hendaklah membuat syor dalam satu penyata untuk pertimbangan Dewan," kata Azalina ketika membacakan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Usul tersebut kemudian disokong oleh M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat).

Astro AWANI pada 28 Februari lalu melaporkan  Wan Saiful mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau dihubungi oleh beberapa individu yang mengugutnya untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwa beliau, dalam beberapa siri pertemuan tersebut, individu berkenaan menawarkan habuan sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri, antaranya peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta.

Selain itu, Wan Saiful mendakwa individu berkenaan turut menawarkan untuk 'membatalkan' pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah, sambil menambah ia menjejaskan kestabilan dan tatakelola yang diperjuangkan oleh kerajaan ketika ini.