Afeena menerusi laman Instastory miliknya turut berjanji kepada suaminya yang mereka akan disatukan semula tidak lama lagi.
“Hubby, saya penat, saya terlalu penat sayang… ujian yang sangat besar daripada Allah.
“B, saya janji pada awak yang kita akan kembali bersama tidak lama lagi!” katanya.
Pada perkongsian yang sama, Afeena turut meletakkan tanda pagar #justiceforalongcham selain meluahkan rasa sayang cinta terhadap suaminya.
“Saya sayang awak sangat,” ujarnya lagi.
Pada Jumaat lalu, Along Cham dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas dua pertuduhan memilik dadah jenis Kanabis.
Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad selaku tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan itu dibacakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa ada dalam milikannya, bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di kediamannya di Cyberjaya pada 14 Disember lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim.
Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan. - Gempak