KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Jana Wibawa, akan bersambung pada 22 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.

Hakim Rosli Ahmad adalah hakim baharu yang mendengar perbicaraan kes Wan Saiful, bagi menggantikan hakim Rozina Ayob yang telah berpindah pada 15 Ogos.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Amirah Muhammad Ali turut memaklumkan ketua pendakwaan kes itu juga telah bertukar dan pihaknya memerlukan masa untuk berbincang dengan ketua pendakwaan baharu.

"Untuk makluman mahkamah, pasukan pendakwaan kini diketuai TPR Dr Ifa Sirrhu Samsudin yang baru melapor diri ke SPRM pada 15 Ogos lepas. Pihak pendakwaan juga telah memasukkan satu surat memohon untuk penangguhan kes pada minggu ini mengambil kira ketua pasukan pendakwaan baru sahaja melaporkan diri dan diarah mengambil alih kes ini bagi menggantikan TPR Rasyidah Murni Azmi yang telah berpindah keluar (ke Jabatan Peguam Negara).

"Oleh itu, beliau (Ifa) mohon sedikit masa untuk meneliti dokumen-dokumen sebelum bicara bermula mengambil kira bahawa kes ini berkepentingan tinggi dan saksi-saksi terlibat adalah saksi-saksi penting," kata Siti Amirah pada sebutan kes kali pertama di hadapan hakim baharu itu.

Siti Amirah berkata kes berkenaan dibicarakan sejak 25 Mac dengan sembilan saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dan secara keseluruhan pihak pendakwaan mempunyai 50 orang saksi manakala peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Wan Saiful berkata pihaknya tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan dan mengambil maklum mengenai pertukaran hakim dan TPR.

Rosli kemudian melapangkan tarikh perbicaraan pada esok (20), 21 dan 23 Ogos.

Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

-- BERNAMA