GUA MUSANG: Perikatan Nasional (PN) malam tadi melancarkan 'KHIDMAT', menggariskan tujuh teras utama dengan 46 tawaran sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Teras utama berkenaan ialah khidmat masyarakat; hak rakyat, integriti dan amanah; daya ekonomi dan infrastruktur; masyarakat berilmu, bernilai murni dan sejahtera; anak muda berpendidikan dan berkemahiran; serta transformasi digital luar bandar.

Ia dilancarkan pada majlis 'Tawaran PN PRK N.43 Nenggiri' yang dihadiri calon Pas mewakili PN, Mohd Rizwadi Ismail; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Pengarah Operasi PRK Nenggiri bagi PN, Tan Sri Annuar Musa dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Radzi Md Jidin, di sini, malam tadi.

Pada PRK itu Mohd Rizwadi Ismail berhadapan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala pengundian awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan bertugas sepanjang tempoh kempen. - BERNAMA