GUA MUSANG: Selepas tamat 14 hari berkempen akhirnya kedua-dua calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bersua muka di pusat mengundi Tabika Sri Bakawali, Bertama Lama di sini hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, bersama isterinya Nur Khamila Mohd Zin, 38, tiba di pusat mengundi berkenaan pada 8.30 pagi.

Selang 10 minit kemudian, calon PAS Mohd Rizwadi Ismail, 41, bersama isterinya Che Mariam Che Noh, 41, tiba di pusat mengundi itu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Kedua-dua mereka sempat bersalaman dan berpelukan selepas dua minggu berkempen bertemu pengundi di DUN Nenggiri.

PRK DUN Nenggiri hari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan Mohd Rizwadi mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK ini diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa pusat mengundi mendapati proses pengundian berjalan lancar setakat ini dan para pengundi mematuhi segala peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundi Akmal Haikal Aliyasok, 18, yang mengundi di pusat mengundi sama berkata dia berasa gembira kerana menjadi antara pengundi muda terawal menunaikan tanggungjawab di kawasan berkenaan.

"Saya baru kali pertama mengundi untuk PRK dan rasa sangat gembira dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," kata penoreh getah itu.

Warga emas Mohd Asri Che Ali, 64, berpuas hati dengan kakitangan SPR dan anggota keselamatan yang bertugas di pusat mengundi untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar serta terkawal.

-- BERNAMA