GUA MUSANG: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Nenggiri perlu mengambil peluang hari mengundi, esok, bagi memilih wakil rakyat terbaik yang boleh mengangkat segala isu dan masalah dihadapi mereka.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata isu dihadapi penduduk Nenggiri hanya boleh diselesaikan dengan pemilihan wakil rakyat yang bertanggungjawab dalam menjadi suara kepada mereka terutama di sidang DUN.

"Di Nenggiri ini banyak masalah saya dengar, terutama isu tanah seperti di RKT Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) , masalah belum dapat geran.

"Wakil rakyat boleh menyuarakan perkara ini dalam sidang DUN kerana tanah adalah di bawah Kerajaan Negeri dan kita kena gesa Kerajaan Negeri dan juga Kesedar untuk pastikan penduduk yang telah menjadi peserta Kesedar ini, dah dekat lebih 40 tahun, tak dapat-dapat geran, kalau tak dapat susahlah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni penduduk setempat di Kampung Limau Kasturi, di sini, pada kempen hari terakhir PRK DUN itu, hari ini.

Mohamad berharap isu-isu sedemikian akan dijadikan keutamaan oleh calon Barisan Nasional(BN) iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau dikenali sebagai Awie sekiranya dipilih menjadi ADUN Nenggiri yang baharu.

"Saya yakin saudara Awie boleh menang esok dan beliau tahu apa yang perlu dibuat dan boleh menyesuaikan diri dengan segera untuk menjadi wakil rakyat yang efektif," katanya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional.

Kerusi DUN itu kosong berikutan pengumuman Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA