Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu turut berpuas hati dengan perjalanan proses undi awal yang berlangsung di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri Kem Erakine Kuala Kubu Baharu.
"Itulah yang sepatutnya berlaku dan kita tahu disiplin anggota polis serta anggota keselamatan sangat tinggi.
"Saya ucapkan selamat mengundi kepada pengundi awal, jalankan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui selepas meninjau proses undi awal di Maktab PDRM, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu beliau turut menyatakaan keterujaan melihat proses berkenaan yang berlangsung di dua lokasi terlibat.
"Ini pengalaman pertama saya menghadapi pilihan raya sebagai calon dan saya lihat keadaan amat baik.
"Saya juga dimaklumkan kehadiran pengundi memberangsangkan sekitar jam 9.30 pagi," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin memaklumkan, hampir 33 peratus pengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka setakat jam 9.45 pagi ini.
Beliau berkata, seramai 863 pengundi terlibat dalam undi awal sehingga jam 5 petang Selasa.
"Pada 11 Mei ini pula, saya harapkan semua pengundi yang berdaftar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu keluar menjalankan tanggungjawab mereka.
"Insya-ALLAH cuaca pada hari tersebut diramal baik dan jika ada sebarang masalah, urus setia SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan membantu.
"Kita akan sediakan transit di tempat-tempat mengundi, ada pengangkutan untuk memudahkan pengundi ke pusat mengundi," katanya. - Sinar Harian