Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai terlalu penting bagi rakyat mengerti dan memahami sama ada mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) telah atau sedang disempurnakan.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Rahim Tamby Chik bagaimanapun berkata,
pengundi sendiri perlu faham mandat dengan janji dalam manisfesto parti itu sendiri mempunyai pengertian yang jauh berbeza.

"Mandat adalah apa yang diamanahkan oleh rakyat kepada parti yang mereka sokong supaya hasrat untuk melihat perubahan nasional yang lebih baik akan tercetus dan menzahirkan hasil yang berfaeadah kepada negara.

"Janji dalam manifesto parti pula adalah apa yang difikir perlu diberikan kepada rakyat oleh parti yang menang jika mereka memiliki sumber-sumber dan kuasa yang mencukupi dari kerajaan yang mereka baru ambil alih dan tadbir.

"Ramai yang keliru di antara mandat dan dan janji piliharaya hari ini," katanya dalam catatan terbaharu di akaun Facebooknya.

BACA: PRK Tanjung Piai: Karmaine optimis aura Tun M mampu bantu kemenangan PH

BACA:
Hari terakhir kempen kritikal untuk BN tangani propaganda DAP - KJ

Dari segi mandat pula tegas Rahim, kerajaan PH kini terbukti melaksanakan komitmennya secara total iaitu membenteras amalan dan budaya rasuah di negara ini.

"Setiap mereka yang terlibat dengan rasuah, penyelewengan, penipuan, rompakan dan kecurian harta dan khazanah negara telah dikenal pasti serta didakwa di mahkamah.

"Mereka yang sabit kesalahan jenayahnya pasti akan dihukum setimpal dengan graviti kesalahan yang dilakukan.

"Tiada negara yang boleh membina pembangunan dan pertumbuhan ekonomi bagi memakmurkan rakyatnya jika landasan kenegaraannya penuh dengan kanser rasuah. Tidak mungkin kemakmuran boleh dibina dan ditingkatkan dalam kondisi dan situasi seperti ini kerana setiap kemakmuran baru yang dicipta atau diusahakan akan terus dicuri dan dibalun hingga punah oleh perasuah ini," jelasnya.

Oleh itu kata Rahim, penghapusan amalan dan budaya rasuah adalah satu-satunya pra-syarat utama dan pertama bagi menjadikan atau mengembalikan posisi lama negara tercinta ini kepada imej dan prestij Harimau Asia.

"Dalam konteks inilah, kerajaan PH telah berjaya menunaikan mandat rakyat dengan menebus posisi kita yang terhina dan diperlekehkan sebelum ini oleh masyarakat serantau dan antarabangsa.

"Manakala hal menunaikan janji-janji pilihan raya pula, ini adalah perkara biasa saja. Semuanya yang sesuai dan boleh dilakukan akan tertunai melalui masa," ujarnya.