KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan bekas Perdana Menteri itu mendapat keadilan.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersama UMNO dan BN yakin Najib berada di pihak yang benar.

“Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang Datuk Seri Najib untuk membela diri dan membuktikan diri beliau tidak bersalah.

“Mewakili UMNO dan BN juga sebagai seorang sahabat, kami yakin Datuk Seri Najib berada di pihak yang benar,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, akan sentiasa mendoakan supaya pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibawa ke muka pengadilan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan tetap menghormati penuh kedaulatan undang-undang.

Selepas enam tahun perbicaraan kes Najib berkaitan dana 1MDB, Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membela diri atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib, 71.