Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad diumumkan sebagai Ketua Wanita UMNO yang baharu dalam pemilihan sayap parti itu yang berlangsung semalam.
Manakala Ketua Pemuda dan Puteri UMNO masing-masing disandang oleh bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Zahida Zarik Khan.
Naib Ketua Wanita pula ialah Norliza Abdul Rahim, Naib Ketua Pemuda ialah Shahril Hamdan Suffian dan Naib Ketua Puteri pula ialah Nurul Amal Mohd Fauzi.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media di ibu negara sebentar tadi.
Dalam sidang media itu, Ab Rauf turut mengumumkan pemenang-pemenang bagi jawatan-jawatan lain dalam ketiga-tiga sayap pergerakan itu.
Jawatan Pengerusi Tetap Wanita UMNO dimenangi Saripah Aminahbi Syed Mohd manakala Timbalan Pengerusi disandang Azizah Johor.
Bagi Jawatan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO pula, penyandangnya yang baharu ialah Mohd Hafeez Che Mat manakala timbalannya pula ialah Iszuwan Ismail.
Jawatan Pengerusi Tetap Puteri UMNO pula ialah Nur Ain A Rahman dan timbalannya ialah Salbiah Saari yang menang tanpa bertanding.
Bagi jawatan exco untuk ketiga-tiga pula, pengiraan masih dilakukan di beberapa bahagian dan keputusan penuh akan dipamerkan di laman rasmi media UMNO dalam masa terdekat.