KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki melakukan terjahan bagi memeriksa keadaan di dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Johor.

Perkongsian beliau di Facebook mendapat perhatian apabila Asyraf melawat sendiri dapur dewan makan MRSM Mersing bagi melihat cara penyediaan makanan yang dilakukan oleh pengusaha dewan makan.

“Saya hanya maklumkan kepada Pengetua sejam sebelum saya sampai. Secara umumnya saya berpuas hati dengan tahap kebersihan dan penyediaan makanan.

“Walaupun bab ikan sahaja yang kecil dan tidak sampai berat 130gm yang disyaratkan, namun pengusaha maklumkan mereka akan berikan 2 ekor ikan jika bersaiz kecil.

“Saya sudah minta wakil-wakil pelajar dan pelajar MRSM Mersing untuk laporkan terus kepada saya jika apa yang dijanjikan oleh pihak Dewan Selera tidak dikota,” tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Beliau juga sempat melawat asrama putera dan puteri termasuk melihat keadaan tandas di MRSM berkenaan.

“Ada tandas yang pintunya rosak, pili rosak saya arahkan dibaiki segera dalam tempoh dua minggu,” jelasnya.

Dalam perkongsiannya itu, Asyraf akui sengaja memilih waktu pelajar balik kelas dan bersedia untuk makan tengahari supaya beliau dapat bertanya sendiri pelajar-pelajar maklumbalas mengenai keadaan dewan selera, asrama, tandas dan keseluruhan suasana di MRSM.

"Saya bagi masa sebulan untuk pengurus dewan selera selesaikan masalah lain seperti kekurangan sabun," katanya lagi.

Terjahan yang dilakukan beliau adalah susulan kes keracunan makanan yang melibatkan seramai 31 pelajar di MRSM Taiping, Perak sehingga dikejarkan ke hospital pada 30 Ogos lalu.
 
Pada masa sama, Asyraf menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan bersikap tegas terhadap isu yang melibatkan kesihatan pelajar.

Sementara itu, pada Sabtu, Asyraf mengarahkan semua bekalan ayam dan bahan mentah yang dibekalkan ke MRSM wajib mempunyai sijil halal.

Ujarnya, setiap kontraktor makan wajib memperincikan secara bertulis dan menjadi sebahagian kontrak semua perincian bahan-bahan mentah.

Selain itu, mereka turut disyaratkan untuk menyenaraikan nama pembekal termasuk jenama dan sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan yang berkaitan.