Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menyatakan pendiriannya sama ada kenyataan beliau sebelum ini untuk menggunakan keputusan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang baru berlangsung sebagai satu pungutan suara terhadap kepimpinan kerajaan, masih relevan atau tidak.

"Beliau (Dr Mahathir) perlu menyatakan pendiriannya. Apabila ia telah dibuktikan sejauh mana seruan referendum itu relevan dalam pilihan raya kali ini, saya percaya anda harus bertanyakan kepada Dr Mahathir," kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyeru pengundi untuk menolak calon Barisan Nasional (BN) di kedua-dua PRK itu sebagai suara bantahan kepada kepimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

BACA: Rangkuman PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar

Beliau juga menyatakan sokongan kepada calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur di Sungai Besar.

Keputusan bagaimanapun memihak calon BN dengan BN mengekalkan kerusi P.067 Kuala Kangsar pada Sabtu.

Calonnya, Datin Mastura Yazid yang merupakan isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, telah menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969, meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi.

Parti itu juga berjaya mengekalkan kerusi P.093 Sungai Besar
.

Calonnya, Budiman Mohd Zohdi yang merupakan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, menewaskan calon PAS dengan majoriti 9,191 meraih jumlah undi sebanyak 16,800 undi.