GUA MUSANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu terlalu yakin akan kemenangan yang mampu berpihak kepada calon PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pihaknya optimis dengan kemenangan calon yang mewakili PN, Mohd Rizwadi Ismail sekali gus mempertahankan kerusi DUN Nenggiri.

Menurutnya, setakat ini sambutan daripada pengundi di DUN Nenggiri terhadap PN memberangsangkan termasuk dalam kalangan Orang Asli.

"Sambutan daripada pengundi yang ada di Nenggiri Alhamdulillah... sangat memberangsangkan, malahan sesetengah kawasan yang kita tak boleh tembusi termasuk kawasan orang asal mereka mengalukan kehadiran kita dan kita telah mengadakan beberapa program disana.

"Secara umumnya saya yakin tapi dalam PRK kita jangan terlalu over confident berbaki tiga hari ini agak kritikal untuk menentukan arah mana termasuk pengundi luar dan saya merayu, memohon (kepada) pengundi luar sana untuk balik ke kampung masing-masing (untuk) mengundi," jelas Muhyddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Kampung Limau Kasturi di Gua Musang, pada Rabu.

PRK DUN Nenggiri pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya Mohd Rizwadi daripada Pas merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.